KUCHING: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak melalui agensi air akan mengenakan surcaj bagi penggunaan air domestik melebihi 35,000 liter seisi rumah sebulan di negeri ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, secara purata penggunaan air domestik di Sarawak adalah 26, 880 liter seisi rumah sebulan.
“Maknanya kalau penggunaan air 35,000 liter seisi rumah sebulan dan ke bawah, maka surcaj tidak akan dikenakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementerian beliau pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Julaihi sehubungan itu, mengesa semua pihak agar bersama menggunakan sumber air secara berhemah tanpa pembaziran.
“Seperti yang kita sedia maklum, fenomena perubahan iklim yang sedang berlaku sekarang boleh menjejaskan keterjaminan sumber air kita,” katanya.