KUCHING: Sebanyak 93 rekod baharu dicatatkan atlet para temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) Ke-21 ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sebanyak 22 adalah rekod kebangsaan dengan sukan para renang menyumbangkan 18 rekod terbabit. Manakala, selebihnya sukan para powerlifting (tiga rekod) serta sukan para memanah (satu).
Manakala, sebanyak 71 rekod temasya iaitu disumbangkan sukan para renang (33), sukan para olahraga (31), sukan para powerlifting (enam) serta sukan para memanah (satu).
“Keupayaan mencipta rekod baharu ini sungguh membanggakan dan sememangnya berasal dari semangat kesukanan serta sifat dalam diri atlet itu sendiri.
“Tahniah kepada semua atlet yang telah menunjukkan prestasi cemerlang. Kalian adalah wira dan wirawati kita, atlet para sememangnya luar biasa,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis penutupan Para SUKMA XXI Sarawak 2024, di sini, malam ini.
Majlis penutupan dilakukan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. Hadir sama, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Sehubungan itu, Fatimah yakin bahawa setiap pencapaian yang telah mereka capai dalam Para SUKMA ini adalah langkah awal kepada kejayaan yang lebih gemilang.
“Kepada Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan, selamat menjadi tuan rumah bagi Para SUKMA ke-22 Tahun 2026,” tambahnya.