Kapit perlukan infra jalan raya lebih baik

KAPIT: Bahagian Kapit memerlukan infrasruktur jalan raya yang lebih baik untuk memacu potensi bahagian itu khususnya dalam sektor peralihan tenaga.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dengan adanya jaringan jalan raya yang lebih baik, kawasan luar bandar di sini dijadikan kawasan penanaman rumput Napier untuk dijadikan biomass yang menghasilkan tenaga elektrik dan makanan untuk haiwan ternakan.

Katanya, ini akan membantu meningkatkan pendapatan penduduk di luar bandar.

“Selain rumput, di sungai ini kita boleh menternak algae dan menjadi minyak belon (pesawat).
“Kita di Sarawak boleh mengeluarkan sisa-sisa rumput jadi elektrik, lumut jadi minyak belon (kapal terbang).
“Jadi Negeri Sarawak tok, kalau ada infrastrukturnya, kita boleh memacu Malaysia sebagai negara penting dari sudut tenaga,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra YAB Perdana Menteri Bersama Pimpinan Komuniti Masyarakat Daerah Kapit pagi tadi.

Hadir sama Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Menteri Kerja Raya Malaysia Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak dan Persekutuan, ADUN serta ketua-ketua masyarakat setempat.

Abang Johari berkata, Kapit juga berpotensi untuk menghasilkan tenaga elektrik hibrid yang dijana melalui gabungan hidro elektrik dan tenaga solar.

Beliau juga beriltizam untuk menjadikan Sarawak sebagai ‘Bavaria’ di Malaysia yang kukuh dari segi ekonominya hasil dari sumber tenaga diperbaharui dijana dari negeri ini.