SIBU: Masalah banjir di kawasan ini dijangka selesai selepas kesemua lima fasa projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) siap dilaksanakan.
Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, fasa pertama dan kedua projek ini telah siap pada 2015 dengan kos sebanyak RM183 juta, manakala fasa ketiga siap 1 Disember 2023 (RM85 juta).
Katanya, projek ini melibatkan pembinaan sistem perparitan dan takungan air untuk mengurangkan risiko banjir di kawasan Sibu.
“Fasa keempat projek ini akan dibiayai oleh Kerajaan Sarawak dan dijangka bermula tahun depan, dengan reka bentuknya sedang dalam peringkat akhir.
“Fasa kelima yang dianggarkan berharga RM500 juta masih dalam proses mendapatkan kelulusan untuk dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13,,” katanya pada sidang media semasa lawatan kerja ke tapak projek RTB Fasa Ketiga, hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan sebanyak RM268 juta untuk melaksanakan RTB Sibu, yang dilaksanakan dalam tiga fasa utama itu.
Beliau menjelaskan, kajian menyeluruh terhadap Sungai Rajang dan Sungai Batang Igan sedang dijalankan untuk menilai hidrologi dan memastikan kebersihan sungai sebagai sumber bekalan air bersih.
“Kajian ini dijangka siap pada 2025 atau 2026 dan akan menjadi panduan tindakan jangka panjang bagi pengurusan banjir di kawasan ini,” kata beliau.
