Kepimpinan kental majukan Sarawak

SIBU: Perjuangan dalam politik dan membangunkan ekonomi merupakan dua faktor penting yang mempunyai kebersamaan untuk kemajuan Sarawak, kata Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau yang juga Premier Sarawak berkata, atas sebab itu Parti PBB mewujukan sayap baharu pergerakan belia untuk melatih golongan itu dalam perjuangan politik supaya lebih mampan.

“Apabila perjuangan politik kita mampan, kita akan mampu melatih golongan muda ini menjadi pemimpin untuk menggerakkan pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Sayap Pergerakan Belia Parti PBB di Hotel RH, di sini, hari ini.

Hadir sama, kedua-dua Timbalan-Yang di-Pertua merangkap Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Naib Yang di-Pertua Kanan merangkap Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof dan ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) parti.

Abang Johari juga yakin dengan kekayaan sumber yang dimiliki Sarawak dan kepimpinan betul serta ikhlas, maka Sarawak mampu melahirkan pemimpin belia yang berilmu dan berkemahiran untuk memacu pembangunan negeri nanti.

“Jika kita (Sarawak) sudah memiliki belia berkemahiran mereka akan dapat memanfaatkan teknologi membangunkan tenaga hijau, pertanian dan sektor aeroangkasa yang hendak dibangunkan,” katanya.

Katanya, dalam Parti PBB perlu mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus belia atau golongan muda untuk diketengahkan pada pilihan raya akan datang.

Mengenai Belanjawan Sarawak 2025, Abang Johari menjelaskan, ada petanda menunjukkan belanjawan lebih tinggi akan dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

Abang Johari turut menasihatkan golongan muda agar tidak ghairah untuk menjadi pemimpin sebaliknya belajar selok-belok politik yang betul.

Sementara dalam ucapannya, Abang Johari berkata, beliau bersama pucuk pimpinan sedia ada mampu bertahan sehingga ke hari kerana tidak mengamalkan ‘politik berbentes’ sesama sendiri.