KUCHING: Sarawak bercadang menjemput pakar Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk meninjau sendiri Sarawak Delta Geopark.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Datuk Abang Openg memberitahu ia merupakan usaha kerajaan negeri untuk mencapai sasaran mendaftarkan Sarawak Delta Geopark di bawah UNESCO menjelang 2026.
Katanya, Sarawak kini sedang menjalankan usaha dalam memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh badan berkenaan.
“Dan satu-satunya ialah kita berkehendakkan pakar daripada UNESCO untuk datang dan melihat sendiri nilai khazanah di Sarawak Delta Geopark.
“Sekiranya kita dapat memenuhi semua proses ini maka kemungkinan ia akan dibawa ke Lembaga UNESCO untuk mereka mengambil geopark kita sebagai salah satu tapak UNESCO,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan ‘International Seminar On Aspiring Sarawak Delta UNESCO Global Geopark’ di Kuching hari ini.
Abang Johari menambah, sekiranya Sarawak berjaya mendaftarkan delta geoparknya di bawah UNESCO, ia akan mewujudkan satu industri pelancongan yang berkualiti di negeri ini.
Dalam hal ini, Sarawak akan menggunakan Pulau Jeju di Korea Selatan sebagai model untuk projek tersebut memandangkan mereka telah lama berjaya mendaftarkan geoparknya di bawah UNESCO dari aspek keunikan geologinya.
Namun katanya, Sarawak hendaklah memenuhi syarat-syarat untuk diisytiharkan sebagai tapak UNESCO dari sudut geopark.
“Jadi sekiranya pelancong datang, mereka akan lebih sayangkan alam semula jadi termasuk dengan nilai geologi di Sarawak Delta Geopark kita nanti dengan tidak menjejaskan apa yang kita ada di tapak berkenaan,” ujar beliau lagi.
Dalam majlis tersebut, Premier Sarawak diberi penghormatan untuk menyampaikan sijil kepada enam rakan kongsi geopark.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Hipni, Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut).
