BDA-Press Metal Aluminium jalin kerjasama pengeluaran ekstrusi fabrikasi

KUCHING: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) menjalinkan kerjasama dengan Press Metal Aluminium Holdings Berhad bagi membangunkan pengeluaran ekstrusi fabrikasi yang khusus untuk industri solar di Bintulu.

Di bawah kerjasama itu, BDA memiliki pegangan sebanyak 20 peratus, menyerlahkan komitmen Sarawak dalam memperluaskan industri ini, jelas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya, kerjasama ini juga mengukuhkan peranan Malaysia sebagai pembekal global dalam tenaga boleh diperbaharui.

Menurut beliau, Sarawak mempunyai kelebihan dalam usaha menjayakan kerjasama ini atas dasar faktor yang dimiliki oleh oleh wilayah ini termasuklah tenaga dan proses kitar semulanya.

“Terdapat dua faktor asas untuk menjayakan kerjasama yang berasaskan aluminium dan produk hilirannya iaitu yang pertama ialah haba, yang mana memerlukan tenaga untuk menghasilkannya.

“Kedua, kelebihan kitar semula aluminium itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara BDA dan Press Metal Aluminium Holdings Berhad di sini hari ini.

Sambil menekankan potensi besar pelaburan berkenaan, Abang Johari yang juga Pengerusi BDA menambah, teknologi pemodelan maklumat bangunan (BIM) juga boleh dimanfaatkan dalam industri aluminium bagi meningkatkan kecekapan tenaga dan kelestarian pembangunan.

Katanya, Indeks Bangunan Hijau (GBI) yang menggunakan teknologi Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) membolehkan perancangan dilakukan dengan lebih mendalam terhadap penggunaan bahan aluminium termasuk dari sudut penjimatan tenaga.

Abang Johari kemudiannya menyaksikan MoU ini ditandatangani oleh BDA yang diwakili oleh Pengurus Besar, Datu Mohamad Yakup Kari manakala Press Metal Aluminium Holdings Berhad diwakili Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ooi Beng Guan.

Ia turut disaksikan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha BDA Wan Ibrahim Wan Alwi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Press Metal Aluminium Holding Berhad Tan Sri Dato Paul Koon Poh Keong serta tetamu kenamaan lain.