KUCHING: Sarawak mensasarkan lima juta pelancong dengan 250 acara menarik yang telah dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri, tahun ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata kementeriannya telah menaja 248 program di seluruh Sarawak pada 2024 dan yakin sasaran itu akan tercapai menjelang Disember.
“Meskipun acara serupa dianjurkan setiap tahun, kelainan yang dibawakan dalam acara-acara seperti Regatta dan Festival Muzik Dunia Hutan Hujan (RWWMF) tetap menjadi tumpuan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelancongan Sarawak (STSC) 2025, semalam.
Beliau menambah, kementerian juga memberi sokongan penuh kepada festival makanan yang mempamerkan budaya dan kepelbagaian etnik Sarawak.
Sebagai contoh, Kuching Food Festival berjaya meraih jualan jutaan ringgit, memberi manfaat besar kepada peniaga, katanya dan berharap acara sebegini dapat berkembang ke seluruh Sarawak.
Abdul Karim turut menegaskan peranan penting industri pelancongan dalam meningkatkan pendapatan negeri, memberi impak besar kepada peniaga, pengusaha kereta sewa, perhotelan, pertanian, dan makanan.
