Penyelidikan bangunkan nanosatelit di Sarawak bermula tahun depan

KUCHING: Sarawak akan memulakan penyelidikan di makmal bagi membangunkan satelit kecil atau nanosatelit pada tahun hadapan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ketika ini kerajaan sedang menyiapkan makmal terbabit yang akan menjalankan penyelidikan dengan rakan kerjasama.

“Salah satu rakan kerjasama ialah agensi luar, manakala satu lagi ialah institusi akademik. Kedua-duanya akan bergabung untuk menjalankan penyelidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan
AI For Makers: Borneo Makers Festival 2026 di Tegas Digital Village, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, sasaran Sarawak adalah pada tahun 2030 untuk membangunkan satelit kecil atau nanosatelit yang bersaiz kecil tetapi mempunyai keupayaan besar.

“Kita mahu membangunkan satelit ini dengan menggunakan komponen yang kosnya lebih rendah. Satelit tersebut akan berada di orbit rendah bumi,” katanya.

Menurutnya, antara komponen penting
nanosatelit ialah kamera dan sistem komunikasi antara bumi dengan satelit di orbit rendah itu yang akan bergerak mengelilingi bumi dan mengumpul data.

“Data yang diperoleh itu kemudiannya boleh kita gunakan mengikut keperluan dan sumber yang ada,” tambahnya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak yang juga Pengerusi Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), Datuk Len Talif Salleh dan Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) yang juga Timbalan Pengerusi TEGAS, Datuk Dr Jerip Susil.

Juga hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestrian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni dan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan, Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS, Udin Bujang.