Masyarakat letakkan harapan pada Rela

SERIAN: Semua anggota Rela diingatkan supaya sentiasa mempamerkan tahap profesional yang tinggi dalam menjalankan tugas masing-masing.

Ahli Dewan Undangan  Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang berkata, sikap begini amat penting supaya  organisasi Rela terus  dihormati dan tugas mereka sentiasa disanjung tinggi serta tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

“Masyarakat meletakkan sandaran dan harapan kepada anggota Rela  untuk melaksanakan tanggungjawab dengan menjadi mata dan telinga kerajaan, terutama di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Kursus Asas Rela Siri 1 Tahun 2025 Daerah Serian di sini.

Dr Simon Sinang berkata, hala tuju Rela kini semakin jelas, dan antaranya untuk mewujudkan gelombang kesukarelawanan di kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama negara ini.

Oleh itu katanya,  pucuk pimpinan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri memandang tinggi anggota-anggota Rela.

“Untuk itu, saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Rela yang sanggup menyahut seruan dan cabaran,” katanya.