BINTULU: Seramai 2,258 pelajar dan murid menerima sumbangan kelengkapan sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bintulu, di sini, hari ini.
Mereka terdiri daripada anggota Pandu Puteri dan golongan B40 dari 29 sekolah menengah dan rendah yang terjejas akibat banjir di Bintulu, baru-baru ini.
Simbolik sumbangan seperti beg sekolah, alat tulis, pensel warna dan bekas makanan disampaikan Penaung Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Inisiatif tersebut merupakan projek kolaborasi bersama Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sarawak dengan OCI TerraSus Sdn Bhd yang telah mendermakan RM100,000 kepada persatuan bagi membeli sumbangan itu.
Hadir sama Yang DiPertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sarawak, Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Angellie Stephen Raja, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee, Residen Bahagian Bintulu, Datuk Nyurak Keti serta Pengarah Kanan Ketua Bahagian Kelestarian OCi TerraSus, Dr. Kim Soo Yeon.
