Genap setahun pemergian Datuk Amar Juma’ani

KUCHING: Genap setahun pemergian Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, kenangan terhadap insan yang menjadi pendamping setia Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg terus mekar dalam ingatan keluarga dan rakyat negeri ini.

Bagi memperingati ulang tahun pertama pemergian Allahyarhamah, Premier bersama anaknya, Dayang Noorjihan, meluangkan masa menziarahi pusara Allahyarhamah hari ini sebagai tanda kasih dan penghormatan yang tidak pernah pudar.

Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir pada 23 Jun tahun lalu bukan sekadar seorang isteri, malah menjadi sumber kekuatan dan tempat bergantung harap kepada Premier sepanjang perjalanan hidup serta kepimpinannya menerajui Sarawak.

Di sebalik kesibukan memikul amanah membangunkan negeri, ingatan terhadap Allahyarhamah sentiasa terpahat. Setiap kejayaan dan cabaran yang ditempuhi menjadi saksi kepada pengorbanan seorang insan yang setia berdiri di belakang tabir, memberikan sokongan, doa dan semangat tanpa mengenal jemu.

Pemergian Allahyarhamah turut dirasai rakyat Sarawak yang mengenali beliau sebagai seorang yang merendah diri, penyayang dan sentiasa mesra ketika menyantuni masyarakat tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang.

Walaupun jasadnya telah kembali ke rahmatullah, jasa, budi serta legasi Allahyarhamah dalam kerja-kerja kebajikan dan khidmat kepada masyarakat terus dikenang, manakala doa serta ingatan terhadap beliau kekal hidup dalam hati keluarga dan rakyat Sarawak.