KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menggesa Pemuda Parti Tindakan Demokratik Sarawak (DAPSY) menghormati jasa kepimpinan Kerajaan Sarawak dalam usaha pengambilalihan Pelabuhan Bintulu.
Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Parti PBB, Royston Valentine mendakwa tindakan DAPSY menyiarkan visual di Facebook yang menutup wajah Premier Sarawak dalam gambar penyerahan cek bagi pengambilalihan Pelabuhan Bintulu adalah tidak wajar dan disifatkannya sebagai biadap dan angkuh.
Menurutnya, tindakan itu seolah-olah tidak mengiktiraf sumbangan Premier Sarawak dan kepimpinan kerajaan negeri dalam menjayakan pengambilalihan pelabuhan berkenaan.
“DAPSY langsung tidak mengiktiraf usaha serta komitmen pimpinan Kerajaan Sarawak menerusi GPS yang telah mengusahakan pengambilalihan Pelabuhan Bintulu selama beberapa tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak telah membayar RM1.8 bilion bagi mengambil alih Pelabuhan Bintulu dan ia bukan diserahkan secara percuma oleh Kerajaan Persekutuan.
Royston turut mendakwa DAPSY cuba mengelirukan rakyat melalui naratif politik berhubung isu berkenaan, selain tidak memberi pengiktirafan kepada usaha kerajaan negeri dalam memperjuangkan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata, Pemuda Parti PBB akan terus menangkis kenyataan yang didakwa mengelirukan rakyat, khususnya yang disebarkan menerusi media sosial.
Katanya, keutamaan parti itu adalah memastikan perpaduan rakyat terus diperkukuh demi mengekalkan kestabilan, kemajuan dan kemakmuran Sarawak.
