SELANGAU: Kerajaan Sarawak optimis projek pembinaan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selangau dapat disiapkan lebih awal, iaitu menjelang Disember tahun ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, projek bernilai lebih RM81 juta itu dilaksanakan oleh Faltech Engineering dijadualkan siap pada Jun 2027.
Namun katanya, projek tersebut mencapai kemajuan fizikal sebanyak 64.2 peratus.
“Kerajaan Sarawak optimis projek ini dapat disiapkan lebih awal berikutan kemajuan memberangsangkan.
“Kami berpuas hati dengan kemajuan projek ini. Walaupun berdepan cabaran cuaca dan lokasi, kontraktor berjaya mengekalkan pelaksanaan mengikut jadual,” katanya pada sidang media selepas meninjau tapak projek, hari ini.
Uggah berkata, kemudahan yang dibina merangkumi blok akademik dan pentadbiran, dua blok asrama pelajar lelaki dan perempuan, dewan makan, 18 bilik darjah, 20 bilik guru, kuarters guru serta pelbagai kemudahan sokongan lain yang mampu menampung kira-kira 400 pelajar.
Beliau berkata, projek itu merupakan antara pembangunan pendidikan penting di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin yang akan meningkatkan kemudahan pembelajaran serta keselesaan warga sekolah.
Projek bernilai RM81,008,863.46 itu di bawah agensi pelaksana Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, dengan pembinaan bermula pada 15 Julai 2024 dan tarikh siap asal ditetapkan pada 14 Jun 2027.
