Palliative Care Centre Petra Jaya perlu bagi penjagaan paliatif

KUCHING: Kerajaan Sarawak merancang pembinaan bangunan dan operasi Palliative Care Centre Petra Jaya di sini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri, Fatimah Abdullah berkata ini bagi menyediakan perkhidmatan penjagaan paliatif yang memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti hidup pesakit kronik atau penyakit yang mengancam nyawa.

Katanya, pada masa sama pusat itu turut menyediakan sokongan emosi, sosial dan psikologi kepada keluarga serta penjaga.

“Seiring dengan peningkatan jangka hayat penduduk dan pertambahan keperluan penjagaan jangka panjang, adalah penting untuk kita merancang penyediaan perkhidmatan penjagaan paliatif yang mampu memenuhi keperluan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Palliative Care Centre Petra Jaya Bil. 01/2026 di sini, hari ini.

Fatimah berkata dalam mesyuarat tersebut, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak telah membentangkan cadangan reka bentuk pelan bangunan Palliative Care Centre Petra Jaya.

Katanya, pembentangan ini memberi peluang kepada ahli-ahli Jawatankuasa Pemandu untuk meneliti dan memberikan pandangan terhadap cadangan pembangunan fizikal pusat tersebut.

“Saya ingin menegaskan bahawa cadangan pembangunan Palliative Care Centre Petra Jaya masih berada dalam peringkat perancangan, penelitian dan pertimbangan oleh Kerajaan Sarawak,” katanya.

Menurutnya, mesyuarat itu merupakan sebahagian proses perancangan awal bagi memastikan semua aspek berkaitan projek ini dapat diperhalusi dengan teliti sebelum dikemukakan untuk pertimbangan dan kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

Beliau juga menyampaikan watikah pelantikan kepada ahli-ahli Jawatankuasa Pembangunan Palliative Care Centre Petra Jaya yang akan memberikan pandangan strategik, kepakaran dan nasihat kepada kementerian itu dalam memperhalusi cadangan pembangunan projek ini.