Perang dadah sintetik perlu diperhebat

KUCHING: Usaha membanteras
penyalahgunaan dadah perlu diperkasakan kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Tegas Abdul Karim, ia berikutan trend semasa yang semakin menjurus kepada dadah sintetik, termasuk yang disalurkan melalui cecair vape dan minuman yang kelihatan seperti produk biasa.

“Dadah tradisional seperti heroin, morfin dan candu masih wujud.

“Namun dadah sintetik kini lebih mudah dihasilkan, diedarkan dan disalahgunakan,”katanya.

Abdul Karim yang juga Pengerusi Persatuan Pencegahan Dadah Malaysia (PEMADAM) Negeri Sarawak berkata demikian semasa sidang media ketika ditanya media mengenai penggunaan vape yang dicampur bahan terlarang yang dilihat semakin membimbangkan di kalangan belia.

Tambahnya, keadaan itu memerlukan tindakan penguatkuasaan yang berterusan.

Beliau menegaskan kerajaan, agensi penguat kuasa serta masyarakat perlu sentiasa selangkah di hadapan sindiket dadah kerana perjuangan membanteras gejala itu tidak boleh dipikul oleh satu pihak sahaja.

Walaupun Sarawak mencatatkan antara indeks jenayah dadah terendah di Malaysia, keadaan itu tidak boleh dijadikan alasan untuk memperlahankan usaha pencegahan dan penguatkuasaan.

“Vape juga perlu diberi perhatian serius kerana berpotensi menjadi saluran penyebaran bahan terlarang, sekali gus mengancam golongan belia.

“Keadaan di Sarawak masih terkawal, namun usaha memerangi dadah perlu diteruskan bagi melindungi anak muda sebagai pewaris negeri dan negara,” katanya.

Mengikut rekod,sejak Januari hingga 21 Jun tahun ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak telah berjaya merampas lebih 5,600 mililiter cecair vape yang bernilai lebih RM1 juta.

Cecair berkenaan didapati mengandungi bahan terlarang seperti etomidate dan bahan sintetik di bawah Akta Dadah Berbahaya.

Dalam tempoh sama, lebih 7,500 tangkapan berkaitan kesalahan narkotik direkodkan di seluruh negeri.