BINTULU: Rakyat diharap agar tidak mengukur kemajuan pembangunan Sarawak hanya berdasarkan kandungan berkaitan yang tular di media sosial.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata ini kerana kadang-kadang di media sosial orang boleh bercakap apa sahaja termasuk berkongsi maklumat yang betul dan tidak tepat.
“Sebab itu rakyat perlu menilai sesuatu perkara berdasarkan fakta dan apa yang benar-benar berlaku di lapangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis penyerahan geran Projek Kecil Luar Bandar(MRP) Fasa Kedua bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena kepada 43 penerima melibatkan peruntukan RM594,400 di Jabatan Pertanian Bintulu, di sini, hari ini.
Dr Rundi berkata, rakyat perlu memahami pembangunan Sarawak ketika ini hasil perancangan jangka panjang kerajaan negeri disokong kestabilan politik serta pelbagai inisiatif yang beri manfaat pada rakyat akar umbi termasuk Program Transformasi Luar Bandar (RTP), Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS).
