Kejayaan bida InterHash 2028 buka peluang ekonomi kepada Sarawak

KUCHING: Kejayaan Kuching memenangi bidaan sebagai tuan rumah InterHash 2028 bukan sahaja mengangkat nama Sarawak di persada antarabangsa malah dijangka menjana kira-kira RM12 juta dalam penerimaan pelancongan kepada negeri ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran acara itu dijangka menarik sehingga 4,000 peserta dari lebih 50 negara.

“Kehadiran peserta antarabangsa itu akan memberi limpahan manfaat kepada pelbagai sektor termasuk penginapan, pengangkutan, makanan dan minuman, peruncitan, kraf tangan serta perusahaan berasaskan komuniti,” katanya pada sidang media penganjuran InterHash 2028 di sini, hari ini.

Beliau berkata, kemenangan membida InterHash 2028 turut membuktikan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap kemampuan Sarawak menganjurkan acara bertaraf dunia.

Katanya, peserta bukan sahaja hadir untuk menyertai acara tersebut, malah ramai dijangka membawa ahli keluarga dan melanjutkan tempoh percutian bagi menikmati keunikan budaya, alam semula jadi dan tarikan pelancongan di Sarawak.

“Dalam tempoh dua tahun akan datang, jawatankuasa penganjur akan melaksanakan kempen promosi di peringkat antarabangsa bagi menarik lebih ramai peserta serta memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelancongan pengembaraan dan kebudayaan,” katanya.

InterHash 2028 dijadual berlangsung di Kuching pada 14 hingga 16 Julai 2028, akan menghimpunkan komuniti Hash House Harriers dari lebih 450 kelab di seluruh dunia.