LAWAS: Sarawak berharap peruntukan lebih besar diperuntukkan menerusi Belanjawan 2027 yang akan dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, aspek pengurusan dan perancangan sektor pendidikan juga perlu diberi perhatian.
Beliau berkata, usaha itu termasuk memastikan Sarawak dilibatkan secara langsung dalam proses perancangan dan pengurusan pendidikan di negeri ini.
Katanya, langkah berkenaan penting bagi memastikan kepentingan pendidikan Sarawak terus diberi perhatian.
Ini termasuk membenarkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di sekolah-sekolah Sarawak.
“Justeru, keperluan peruntukan yang lebih besar amat penting. Selain itu, aspek pengurusan juga perlu diselaraskan dengan keperluan Sarawak memandangkan negeri ini adalah yang terbesar.
“Keperluan jawatan, termasuk peluang kenaikan pangkat, juga perlu diberi perhatian dan bukan sekadar memenuhi keperluan tenaga pengajar,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan lawatan kerja ke tapak pembinaan bangunan baharu Sekolah Kebangsaan Belipat hari ini.
Awang Tengah berkata, Kerajaan Sarawak membelanjakan sejumlah besar peruntukan untuk anak-anak pelajar dan penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) di Sarawak.
Malahan bagi Bahagian Limbang, sejumlah RM160 juta diperuntuk melalui Agensi Pembangunan Utara(NRDA) untuk bina baharu sekolah uzur, baik pulih bilik darjah, baik pulih dan bina baharu kediaman guru.
Pada lawatan berkenaan beliau turut meluluskan peruntukan untuk membaiki dewan makan sekolah dan dewan utama sekolah melalui peruntukan daripada Agensi Pembangunan Utara Sarawak (NRDA).
