SPR teliti bantahan syor persempadanan Sarawak

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menerima sebanyak 133 representasi berhubung Syor Kajian Semula Persempadanan (KSP) Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri Sarawak Kali Ketujuh.

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 126 representasi membantah syor berkenaan, manakala tujuh lagi menyatakan sokongan.

Menurutnya, semua representasi diterima sepanjang tempoh pameran syor kajian semula persempadanan yang berlangsung selama sebulan, bermula 1 hingga 30 September lalu.

“SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi meneliti dan membincangkan semua representasi yang diterima.

“Penelitian khusus akan diberikan kepada representasi yang memenuhi syarat untuk dipertimbangkan bagi tujuan Siasatan Tempatan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, ketetapan berhubung proses Siasatan Tempatan akan dibuat selepas mesyuarat berkenaan.

Tambahnya, notis menghadiri prosiding akan dihantar kepada pihak yang layak selewat-lewatnya dua minggu sebelum siasatan dijalankan.

Jelasnya, SPR diberikan tempoh dua tahun bermula 1 September 2026 untuk menyiapkan kajian tersebut sebelum laporan akhir dikemukakan kepada Perdana Menteri.

Tindakan tersebut jelasnya, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.