BINTULU: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.68 Tanjong Batu mencadangkan pertambahan satu kerusi Parlimen baharu di kawasan Bintulu.
Ketua Cawangannya, Datuk Haidar Khan Asghar Khan membentangkan usul itu bagi kawasan Bintulu yang kini mempunyai lebih 120,000 pengundi.
Ini juga mengambil kira kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang luas seperti DUN Jepak, DUN Tanjong Batu, DUN Kemena dan DUN Samalaju.
“Jumlah pengundi yang semakin meningkat dan keluasan kawasan ini memerlukan penambahan kerusi untuk memastikan suara rakyat terus didengari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul itu semas Mesyuarat Agung Perwakilan Tri-Tahunan Ke-16 Parti PBB Cawangan N.68 Tanjong Batu Sesi 2024 hingga 2027 di sini.
Haidar Khan juga mencadangkan penubuhan kerusi DUN baharu di kawasan tersebut, dengan harapan calon dari parti itu akan dipilih untuk kedua-dua kerusi Parlimen dan DUN yang dicadang.
Selain itu, beliau turut mengusulkan mengekalkan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai Yang di-Pertua Parti PBB.
Sementara, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan sebagai Timbalan Yang di-Pertua dan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof dan Datuk Sri Dr Stephen Rundi Utom sebagai Naib Yang di-Pertua Kanan turut dicadang dikekalkan tanpa bertanding.
Sementara itu, Haidar Khan kekal sebagai ketua cawangan itu.
Mesyuarat diselaraskan Penolong Bendahari Majlis Kerja Tertinggi Parti PBB, Datuk Dr. Ripin Lamat.
Sophie Shariee kekal sebagai Timbalan Ketua Cawangan, manakala Johny Jimon (Naib Ketua).
