KUCHING: Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) sempena rangka lawatan kerja rasmi sehari di Kuching hari ini.
Ketibaan beliau yang menggunakan pesawat khas kira-kira jam 1.40 petang disambut oleh Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian.
Turut menyambut ketibaan ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Henry Harry Jinep, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Dato’ Sri Huang Tiong Sii dan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang.
Sebaik tiba, Perdana Menteri bersama rombongan terus menuju ke Kompleks Satria Pertiwi bagi mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Negeri bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Ahli Kabinet Sarawak yang lain.
Pada sebelah petang pula, Anwar dan Abang Johari akan meluangkan masa melawat Bazar Ramadan Sukma Ria pada jam 5.25 petang sebelum bersama-sama dalam Majlis Berbuka Puasa Madani 2026 Peringkat Sarawak di Masjid Jamek Negeri Sarawak sekaligus menutup lawatan kerja beliau.
Perdana Menteri bersama rombongan dijadual berlepas pulang ke ibu negara jam 8 malam ini.
