AKPS bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak kawal pintu masuk sempadan

KUCHING: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) komited memperkukuhkan peranannya dalam mengawal kesemua 36 pintu masuk negara di Sarawak.

Ketua Pengarah AKPS, Dato’ Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, penubuhan dan pengoperasian AKPS di Sarawak berjalan hampir dua tahun, namun masih berdepan beberapa cabaran pentadbiran.

“Cabaran utama kita ialah kekurangan anggota untuk ditempatkan di semua pintu masuk,” katanya semasa mengadakan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato’ Ahmad Nadzri Mohd Hassan di pejabatnya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, banyak lokasi memerlukan pegawai, tetapi pada masa sama perlu menguruskan kekuatan sedia ada bagi memastikan operasi terus berjalan.

AKPS juga sedang memberi perhatian terhadap pintu-pintu masuk di kawasan pedalaman Sarawak yang mempunyai cabaran tersendiri dari segi jarak, akses jalan raya, kemudahan asas serta keperluan logistik, selain isu penyeludupan barangan kawalan dan kenderaan, katanya.

“AKPS akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak serta agensi berkaitan bagi mengenal pasti keperluan setiap lokasi, termasuk mendapatkan sokongan dalam aspek pembangunan infrastruktur, kemudahan utiliti dan penambahan perjawatan bagi memastikan fungsi AKPS dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” tegas beliau.

Mohd Shuhaily memberitahu, pihaknya turut mempergiatkan program libat urus bersama masyarakat di Sarawak bagi meningkatkan pemahaman mengenai peranan dan fungsi agensi berkenaan dalam mengawal pintu masuk negara serta memastikan keselamatan sempadan terus terpelihara.

Turut hadir semasa kunjungan tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AKPS, Datuk Mohd Nasaruddin M. Nasir; Komander Pintu Masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Pius Inggong; Komander Pintu Masuk Pelabuhan Senari, Abang Mat Noor Abang Abdul Samat dan Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa AKPS, Norhisham Kamarudin.