Perusahaan sosial Sarawak pamer potensi menerusi SEHebat Catalyst

KUCHING: Sebanyak 10 perusahaan sosial tempatan mempamerkan pencapaian dan potensi perniagaan masing-masing menerusi program SEHebat Catalyst Kohort 2 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) 6 Oktober lalu.

Program anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dengan kerjasama Biji-Biji Initiative itu diadakan sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2026.

Menurut kenyataan media SDEC, program pemecut perniagaan selama enam bulan tersebut bertujuan memperkukuhkan keupayaan perniagaan, penjenamaan serta jaringan strategik perusahaan sosial.

Ia bertujuan meningkatkan daya saing dan memberi impak positif kepada masyarakat.

Tambah SDEC, tiga peserta berjaya memperolehi geran Dana Perusahaan Sosial Hasanah (HSEF) sehingga RM100,000, manakala tiga lagi disenarai pendek untuk pertimbangan.

Selain itu, program berkenaan berjaya mewujudkan tiga kerjasama strategik serta meningkatkan keterlihatan perniagaan, kesedaran jenama dan jualan peserta.

Sesi padanan perniagaan turut melibatkan 13 organisasi daripada pelbagai sektor bagi membuka peluang kerjasama dan akses pasaran kepada usahawan.

Sementara itu,melalui kenyataan media tersebut juga, SEHebat Catalyst Kohort 3 dijadual akan diteruskan pada tahun hadapan dengan tumpuan memperluaskan penyertaan usahawan di kawasan pinggir bandar seluruh Sarawak.