KUCHING: Australia melihat Sarawak sebagai rakan strategik penting dalam memperluaskan kerjasama dua hala meliputi peralihan tenaga boleh diperbaharui, pembangunan bakat masa depan, pendidikan serta peluang perdagangan dan pelaburan.
Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke berkata, kerjasama tersebut turut memberi tumpuan kepada penerokaan teknologi dan kepakaran baharu bagi menyokong agenda pembangunan Sarawak menuju 2030.
Katanya, antara bidang yang sedang diterokai ialah penggunaan teknologi penyimpanan tenaga termasuk sistem ‘pumped hydro’, selain kerjasama teknikal bersama Sarawak Energy dalam menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui.
“Kami bekerjasama rapat untuk melihat bagaimana Sarawak boleh memperluaskan peralihan tenaga boleh diperbaharuinya menggunakan pumped hydro, selain berkongsi kepakaran teknikal,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Kompleks Satria Pertiwi hari ini.
Heinecke berkata, bidang pendidikan juga kekal sebagai komponen penting dalam hubungan Australia-Sarawak, khususnya melalui kerjasama dengan universiti Australia yang beroperasi di Sarawak seperti Universiti Teknologi Swinburne Sarawak dan Universiti Curtin Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa kerjasama penyelidikan antara Swinburne di Australia dan Malaysia ketika ini turut memberi tumpuan kepada sektor masa depan termasuk tenaga dan teknologi baharu.
- UKAS
