SEOUL: Timbalan Presiden Majlis Dakwah Islam Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) yang baharu, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi bersedia melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada beliau
Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) bersedia membantu Premier Sarawak yang juga Presiden RISEAP Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta exco badan itu dalam memperkasa kemajuan umat Islam serantau.
“Saya ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada YAB Premier yang telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk menjawat jawatan Timbalan Presiden RISEAP pada Mesyuarat Exco Ke-36 yang telah diadakan di Bandaraya Seoul, Korea Selatan pada hari ini.
“Saya akan menjalankan tugas dengan sebaik mungkin, dengan sedaya upaya saya membantu YAB Premier selaku Presiden RISEAP bersama dengan Naib-naib Presiden serta Ahli Exco RISEAP yang sedia ada,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemuramah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan TVS selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif RISEAP Ke-36 di sini, hari ini.
Katanya, RISEAP yang dianggotai 24 negara telah memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat Islam di negara-negara anggota badan itu.
Menurut beliau, Sarawak sebagai salah satu anggota badan itu turut menyumbang dalam membantu negara anggota lain melalui penubuhan Tabung Baitulmal di New Zealand dan Hong Kong.
Pelantikan Datuk Dr Abdul Rahman susulan peletakan jawatan mantan Timbalan Presiden RISEAP, Ridzuan Wu dari Singapura, atas faktor kesihatan.
Beliau akan menggalas jawatan itu sehingga Mesyuarat Agung RISEAP yang dijadual pada pertengahan tahun 2026. – UKAS
