SIMANGGANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor telah menyalurkan insentif keseluruhan berjumlah RM42,250 bagi menyokong penganjuran dua lokasi Bazar Ramadan di Sri Aman tahun ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM22,250 disalurkan kepada Fiesta Bazar Ramadan Sri Aman 2026 yang dianjurkan bersama Resepi Teratak, Persatuan Persaudaraan Melayu Betong-Sri Aman dan Jawatankuasa Usahawan Simanggang.
Selain itu, beliau turut menyalurkan RM20,000 kepada Bazar Ramadan Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Simanggang yang berlangsung di hadapan Pasar Tamu Sri Aman bagi memastikan penjaja di kedua-dua lokasi menerima manfaat sewajarnya.
“Ini bukan sekadar angka, ini adalah komitmen. Saya sentiasa berdiri bersama para penjaja dan rakyat Sri Aman.
“Selagi diberi amanah, kebajikan serta pembangunan ekonomi komuniti akan terus menjadi keutamaan,” katanya ketika merasmikan Fiesta Bazar Ramadan 2026, dekat sini hari ini.
Insentif kepada peniaga bazar Ramadan itu bukanlah kali pertama dilaksanakan, sebaliknya pernah diadakan pada 2024 dan diteruskan tahun ini susulan sambutan menggalakkan serta impak positif kepada ekonomi setempat.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Pertandingan Pintu Gerbang Aidilfitri akan diadakan di seluruh kawasan DUN Lingga dengan hadiah utama RM5,000, tempat kedua RM3,000 dan ketiga RM2,000, manakala setiap penyertaan layak menerima saguhati RM150 sebagai galakan kepada komuniti menzahirkan kreativiti.
