KUALA LUMPUR: Anak-anak Sarawak yang berada di Semenanjung disatukan dalam Majlis Sungkei Anak Sarawak 2026 anjuran Yayasan Sarawak berlangsung meriah di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) malam tadi.
Ia merupakan aktiviti tahunan Kerajaan Sarawak menerusi Yayasan Sarawak bertujuan mengumpul anak-anak Sarawak di perantauan dalam menghidupkan semangat kebersamaan sempena Ramadan.
Ia juga mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkukuh jaringan komuniti, memelihara kebajikan pelajar.
Selain itu, menyemai semangat kekeluargaan, sekali gus memastikan anak-anak Sarawak tidak terasa jauh dengan tanah kelahiran mereka.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Turut hadir Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama anak, Dayang Norjihan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof serta isteri, Datin Amar Ruziah Mohd Tahir.
Selain itu, barisan Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet Persekutuan dan Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengarah Yayasan Sarawak, Datu Mohamad Junaidi Mohidin, ketua-ketua jabatan.
Ia turut diisi dengan penyampaian sumbangan duit raya daripada Yayasan Sarawak kepada penerima terpilih sebagai manifestasi sokongan berterusan terhadap kebajikan pelajar serta komuniti anak Sarawak di perantauan.
