KUALA LUMPUR: Sarawak terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab hidrogen hijau serantau menerusi penganjuran Asia Pacific Green Hydrogen Conference and Exhibition (APGH) 2026 yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 11 Jun depan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni berkata, penganjuran APGH 2026 mencerminkan peralihan pendekatan negeri ini daripada sekadar memperkatakan potensi hidrogen hijau kepada pelaksanaan projek secara menyeluruh dan bersepadu.
Menurut beliau, tema “Empowering the Future – Delivering a Resilient Hydrogen Ecosystem” membawa mesej jelas bahawa pembangunan hidrogen hijau tidak boleh dilihat secara terpisah.
Sebaliknya perlu disokong ekosistem lengkap merangkumi bekalan tenaga boleh diperbaharui yang stabil, teknologi pengeluaran berskala besar, infrastruktur penyimpanan dan pengangkutan serta aplikasi penggunaan akhir dalam sektor industri, penjanaan kuasa dan mobiliti.
“Di Sarawak, peralihan rendah karbon dilaksanakan secara tersusun dan pragmatik. Hidrogen hijau dibangunkan sebagai sebahagian daripada ekosistem rendah karbon yang lebih luas melibatkan tenaga hidro, solar, kecekapan tenaga, bahan api mampan serta penyelesaian pengurusan karbon yang sedang berkembang.
“APGH 2026 akan memberi tumpuan kepada perbincangan berasaskan pelaksanaan dan kajian kes projek sebenar, memastikan hasil dan tindakan menjadi keutamaan, bukan sekadar teori,” katanya dalam Sesi Libat Urus Industri dan Townhall APGH 2026 semalam.
Dr Hazland sendiri mengetuai sesi townhall itu yang bertajuk “Perjalanan Hidrogen Bersih Sarawak: Menangani Cabaran, Menggalakkan Pelaburan dan Membina Rantaian Nilai”.
Beliau menambah, selain komponen teknologi dan infrastruktur, pembangunan ekosistem hidrogen yang mampan turut memerlukan dasar serta rangka kerja peraturan yang jelas, piawaian keselamatan kukuh, akses pembiayaan, pembangunan bakat dan kerjasama strategik bagi menggerakkan projek daripada fasa perancangan ke pembinaan dan operasi.
APGH 2026 dijangka menghimpunkan lebih 800 delegasi persidangan serta 5,000 pengunjung industri dan perdagangan, sekali gus mencerminkan minat kukuh serantau dan antarabangsa terhadap penyelesaian hidrogen hijau dan rendah karbon.
Lebih 90 penceramah termasuk 25 wakil kerajaan dari 30 negara akan berkongsi pandangan merangkumi aspek dasar, pelaksanaan projek, penggunaan teknologi serta pelaburan.
Sebanyak 30 pembentangan teknikal dan industri turut dijadual bagi membincangkan cabaran dan penyelesaian sebenar di lapangan.
Untuk pendaftaran, tempahan pameran atau pertanyaan sila layari www.hydrogenapac.com.
