LUNDU: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Lundu diminta melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran teknologi maklumat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Pehin Sri Adenan berkata, ini agar mereka dapat memberi perkhidmatan lebih berkesan sejajar zaman teknologi maklumat yang banyak memudahkan perhubungan pemimpin dan akar umbi.
“Pengetahuan dalam menggunakan teknologi maklumat kini juga menjadi kriteria dalam memilih calon KMKK yang baharu,” katanya di Majlis Sesi Penyerahan Sijil Pelantikan KMKK N3 Tanjong Datu di Dewan Serbaguna Mahligai Gading Lundu.
Seramai lima orang menerima sijil pelantikan ketua kaum yang baharu iaitu dari Kampung Sampadi, Kampung Sg Langgir /Selengok, Kampung Temelan Ulu, Kampung Sungai Belian dan Kampung Sileng Dayak.
KMKK Daerah Lundu juga menerima peruntukkan sebanyak RM15,000 bagi membuat aktiviti menambah pengetahuan termasuk dari segi teknologi maklumat.
