Atlet SUKSAR akan dinilai sebelum layak ke SUKMA

SIBU: Atlet pemenang Termasya Sukan Sarawak (SUKSAR) akan dinilai semula sebelum layak mewakili Sarawak dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

Menurut Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu berkata, ini kerana setiap sukan mempunyai tahap yang perlu dipertingkatkan.

“Kita akan melihat prestasi mereka, dari maklumat yang kita dapat setiap sukan ada tahap yang perlu ditingkatkan seperti atlet terjun kita sudah ada olimpik dari Sarawak.

“Kita mahu anak Sarawak di persada dunia, bukan hanya jaguh kampung saja,” katanya selepas merasmikan SUKSAR Ketiga di Stadium Tertutup Sibu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar berkata, terdapat penambahan dari segi atlet dan ini bermakna Sarawak mempunyai pelapis khususnya SUKMA tahun ini.

“Kita juga melihat persiapan teknikal sangat penting kerana tanpa pasukan teknikal tidak dapat menganjurkan acara sukan.

“Pada kali ini, kesemua pasukan teknikal kita memang dari Sarawak, bermakna persatuan mengambil berat tentang peranan mereka dan ini adalah pasukan terbaik bersedia untuk Sukma 2024.

“Apa yang paling penting ialah setiap hari kita bekerja keras lagi untuk memastikan SUKMA tahun ini akan berjaya dan lebih-lebih lagi Sarawak akan menang,” kata beliau.

SUKSAR Edisi Ke-3 ini yang membuka tirainya hari ini hingga 18 Disember disertai hampir 1,200 orang termasuk pegawai dan atlet dari empat zon iaitu utara, tengah, barat dan selatan.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga ADUN Pelawan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, ADUN Bukit Assek, Joseph Chieng Jiek Ek, Residen Bahagian Sibu, Datu Wong Hee Sieng.