KUALA LUMPUR: Program pendidikan fokus kepada kelestarian tenaga dan inovasi teknologi perlu diberi penekanan dan bukan hanya sebagai sampingan, kata Timbalan Perdana Menteri.
Dato Sri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, negara harus melengkapkan golongan belia bukan hanya setakat untuk pekerjaan tetapi juga untuk menghadapi cabaran masa hadapan.
“Menyedari keperluan itu, Kerajaan MADANI telah menubuhkan Program Literasi Tenaga Malaysia (MELP),” katanya semasa Pasca Sesi Panel 3: Belia, Pendidikan dan Pembangunan Bakat – Menggerakkan Bakat Tempatan Untuk Memacu Peralihan Tenaga di sini, hari ini.
Fadillah menegaskan, MELP adalah suatu inisiatif bertujuan mendidik rakyat mendapatkan maklumat tenaga boleh dipercayai dan menggalakkan masyarakat menjadi pembuat keputusan yang bersedia untuk melaksana tenaga mampan.
Untuk mempercepatkan peralihan itu dengan berkesan, negara harus fokus melaksanakan inisiatif latihan, tegas beliau.
Negara, katanya, juga perlu menyusun semula strategi pembangunan bakat dengan menerapkan sistem untuk memupuk dan meningkatkan latihan di semua peringkat.
Ia bukan hanya untuk mengisi kekosongan tetapi membina bakat secara berterusan terutama dalam kalangan belia dalam mencapai matlamat peralihan tenaga negara, tegas beliau.
Beliau yakin golongan belia yang dilengkapi dengan kemahiran dapat memperjuangkan dasar yang mengutamakan kemampanan dan menghadapi cabaran status quo.
Beliau menggesa usahawan muda dan peneraju inovasi supaya menerokai sektor tenaga baharu dan diperbaharui untuk menyokong usaha kerajaan dalam mempercepatkan agenda peralihan tenaga negara.
