KABONG: Pelaksanaan projek Dewan Masyarakat Kabong bakal bermula setelah Majlis Serah Tapak dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir.
Projek yang dijadual siap pada 14 Januari 2027 itu akan memperkukuh pembangunan infrastruktur luar bandar di kawasan berkenaan.
Skop kerja melibatkan pembinaan satu blok dewan baharu, kerja-kerja perobohan dewan lama, pemasangan sistem mekanikal dan elektrikal (M&E), kerja luaran dan sebagainya.
Menurut Chee Kadir, projek ini membuktikan komitmen kerajaan negeri menyediakan kemudahan moden dan serba lengkap untuk kesejahteraan masyarakat Kabong.
“Dewan ini akan menjadi pusat aktiviti masyarakat, lokasi pertemuan rasmi, serta medan pelaksanaan program pembangunan sosial, ekonomi dan kebudayaan,” katanya.
Majlis serah tapak turut disaksikan oleh wakil jabatan teknikal, kontraktor pelaksana, pemimpin tempatan dan penduduk.
