Pelaksanaan projek Sarawak perlu ikut kesesuaian

KUCHING: Pelaksanaan projek di Sarawak perlu disesuaikan mengikut keperluan negeri ini yang mungkin berbeza dengan Semenanjung Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof menegaskan keperluan untuk mendapatkan hala tuju dasar daripada Kabinet bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan projek di Sarawak terutama di kawasan terpencil.

Menurutnya, model yang dicadang untuk Sarawak juga berpotensi diguna pakai di Sabah khususnya bagi luar bandar.

“Misalnya, bagi projek pembinaan sekolah di kawasan terpencil yang dibangkitkan oleh Kementerian Pendidikan, terdapat pelbagai cabaran yang dihadapi termasuk peruntukan, kekurangan kontraktor, isu logistik, sumber manusia serta bahan binaan.

“Akibatnya, projek tidak dapat dilaksanakan, tergendala atau dibatal,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Bil. 1/2025 (MTPNG) bersama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Fadillah menambah, hala tuju jelas dari Kabinet diperlukan bagi menangani isu-isu ini secara khusus dan memastikan kelancaran pelaksanaan projek di negeri itu.

Sementara itu, beliau mendedahkan Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan khas berjumlah RM2,831,000 kepada Kerajaan Sarawak bagi membantu mangsa banjir, kebakaran dan tanah runtuh di negeri ini.

Katanya, bantuan tersebut disampaikan melalui Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

“Saya serahkan tadi kepada mangsa-mangsa banjir, tanah runtuh dan kebakaran melalui Datuk Amar Douglas selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak in untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa melalui kerajaan Sarawak,” katanya.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu menambah, peruntukan khas yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim itu akan disalurkan dalam bentuk bantuan tunai sebanyak RM1,000 kepada setiap keluarga yang terkesan akibat bencana.

Daripada jumlah keseluruhan, sebanyak RM2,783,000 diperuntukkan kepada 2,783 keluarga yang terjejas akibat banjir dengan penyelarasan oleh JPBN Sarawak.

Selain itu, bantuan turut diberikan kepada mangsa kebakaran di Rumah Paulus anak Yan, Sungai Bawan, Kanowit melibatkan sembilan keluarga dengan jumlah RM9,000.

Bagi mangsa tanah runtuh pula, sebanyak RM31,000 diperuntukkan kepada 31 keluarga di Miri manakala lapan keluarga di Bintulu menerima sejumlah RM8,000.

Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala dan Peguam Besar Sarawak Dato’ Sri Saferi Ali.