Penduduk Kampung Suyong nikmati akses jalan raya, mudahkan pergerakan

BALINGIAN: Penduduk Kampung Suyong di sini menikmati akses yang lebih baik selepas tujuh projek menaik taraf jalan ke rumah-rumah di sekitar kampung berkenaan siap lebih awal.

Majlis penyerahan tapak projek disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi.

Beliau merakamkan penghargaan kepada agensi pelaksana atas komitmen memastikan kesejahteraan rakyat luar bandar diutamakan. Projek tersebut siap lebih awal dari jadual ditetapkan.

Menurutnya, kejayaan menyiapkan projek lebih awal menunjukkan kecekapan pelaksanaan dan semangat kerjasama yang kukuh antara semua pihak terlibat.

“Pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya amat penting dalam meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar.

“Ia bukan sahaja memudahkan pergerakan harian, malah turut merangsang aktiviti ekonomi setempat,” katanya berucap pada majlis itu semalam.

Projek-projek berkenaan dilaksanakan di bawah seliaan Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan serta sokongan masyarakat.

Dalam pada itu, penduduk kampung menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri atas usaha berterusan menyediakan kemudahan asas yang lebih baik.

Ia membuktikan komitmen kerajaan terhadap pembangunan luar bandar di bahagian ini.