Pindaan RUU Agensi Persendirian 2025 ganti akta lapuk

KUALA LUMPUR: Pindaan ke atas Rang Undang-undang (RUU) Agensi Persendirian 2025 adalah satu transformasi bagi menggantikan akta yang lapuk.

Ahli Parlimen Betong, Dr. Richard Rapu berkata, dengan kerangka perundangan yang lebih responsif, telus dan berorientasikan keselamatan, pindaan itu seiring dengan keperluan masa kini.

Pindaan RUU itu juga adalah langkah progresif dan penting yang sangat diperlukan untuk menggerak dan memodenkan landskap industri keselamatan persendirian di negara ini, katanya semasa membahas RUU Agensi Persendirian (Pindaan) 2025 pada sidang Parlimen di sini, semalam.

Beliau yang menyokong pindaan RUU itu berharap agar pindaan ini dapat memastikan industri keselamatan persendirian Malaysia beroperasi dengan piawaian tertinggi di peringkat domestik dan antarabangsa.

Bagaimanapun, Dr Richard Rapu mencadangkan supaya Pindaan Seksyen 9 & 13 RUU itu perlu memastikan terdapat peruntukan yang jelas untuk kemasukan dan penilaian wajib input risikan tempat oleh PDRM Kontinjen dalam proses tapisan keselamatan pekerja.

Susulan daripada cadangan pindaan itu, beliau menjangkakan ia akan meningkatkan risiko kesesakan dan kelewatan memandangkan jumlah permohonan pekerja yang tinggi dari seluruh negara.

“Pemusatan kuasa sepenuhnya kepada pejabat Kementerian Dalan Negeri (KDN) boleh menyebabkan kelewatan yang signifikan dalam pemprosesan,” katanya.

Bagi memastikan pemprosesan yang cekap dan pantas sambil mengekalkan integriti dan kawalan kualiti, beliau mencadangkan supaya kuasa untuk memproses dan mengeluarkan surat kelulusan awal perlu diturunkan kembali kepada Unit/Jabatan Polis Negeri/Daerah yang ditetapkan di bawah pengawasan Ketua Polis Negara.

Beliau turut mencadangkan supaya konsep “lesen tambahan” digantikan dengan mekanisme “pendaftaran dan kelulusan pejabat cawangan” yang diselaraskan di bawah lesen utama untuk mengurangkan kerenah birokrasi dan membolehkan agensi berlesen meluaskan operasi dengan lebih cekap.