SIBU: Kerja-kerja pengukuran tanah hak adat Bumiputera (NCR) tidak akan dilaksanakan jika tanah itu sedang terlibat dalam pertikaian atau perbicaraan di mahkamah.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menegaskan, kerja pengukuran hanya akan diteruskan selepas kes-kes berkaitan ditarik balik daripada mahkamah.
“Justeru, selesaikanlah dengan cara baik dan berhemah. Setelah itu, sekiranya mahu menyertai Program Pengukuran Tanah NCR ini semula, permohonan baharu perlu dikemukakan kepada Jabatan Tanah dan Survei (JTS),” katanya semasa berucap Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) Bahagian Sibu, hari ini.
Beliau turut mengingatkan bahawa tuntutan ke atas tanah NCR perlu disertakan bukti dan berdasarkan perundangan yang sah.
“Penuntut tanah perlu mengemukakan bukti bahawa tanah NCR itu adalah milik mereka, dan ini akan dibandingkan dengan rekod kerajaan. Jika terdapat pertindihan tuntutan, perundingan akan diadakan sehingga mencapai kesepakatan,” kata beliau.
Pada majlis tersebut, seramai 365 pemilik tanah yang terkesan dengan tiga projek pembangunan kerajaan menerima pampasan berjumlah RM6,791,580.57 secara keseluruhan hari ini.
Daripada jumlah tersebut, seramai 103 pemilik terkesan dengan pelaksanaan projek proposed Baleh-Mapai 500KV Overhead Transmission Line Project Sibu/Kapit-access road to the Transmission Line dengan jumlah keseluruhan pampasan RM2,254,749.87.
Seramai 53 pemilik tanah terkesan dengan pelaksnaan Projek Membina Jalan Rumah (Rh) Jingga/David Multifram, Rh Seli/Rh Guang/SK Singat Sungai Lengan, Sibu jumlah keseluruhan pampasan RM1,101,472.50.
Sementara, 209 pemilik tanah terkesan dengan Proposed Naik Taraf Loji Salim daripada 50MLD kepada 300MLD-raw water pipeline jumlah keseluruhan pampasan RM3,435,358.20.
Turut diadakan ialah penyerahan surat hak milik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) kepada 26 penerima dari kawasan Igu, Tamin, Selangau dan 107 penerima dari kawasan Pasai Siong, Block 20 dan Block 21 Sibu.
