KUCHING: Warga Perkhidmatan Awam Sarawak digesa terus memperkukuh budaya inovasi dan kreatif bagi kecekapan jabatan dan agensi masing-masing.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, ini kerana kecekapan jabatan dan agensi mereka amat kritikal khususnya dalam menyokong pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Semua projek harus dilaksanakan mengikut jadual dan dilakukan dengan teliti serta menepati kualiti yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Amanat Bulanan Penjawat Awam Sarawak bagi bulan Oktober.
Selain itu, Abu Bakar juga mahu warga terbabit yang menjadi Ketua Jabatan harus lebih kerap turun padang untuk berinteraksi terus dengan kakitangan dan tidak boleh berpeluk tubuh dan menunggu laporan di pejabat.
“Ketua Jabatan bukan sahaja menjadi sumber inspirasi, malah dapat memastikan setiap tugasan dilaksanakan dengan berkesan dan jayanya,” tambahnya. – UKAS
