MATU: Inisiatif Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Matu dan masyarakat bersama menganjurkan Pesta Tanglung wajar dicontohi.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi menyifatkan acara itu bukan sahaja memupuk perpaduan malah turut memartabatkan budaya tradisional.
Selain itu katanya, ia turut memperkukuhkan semangat kekitaan dan keharmonian dalam kalangan penduduk.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan perasmian pesta itu yang diadakan di ruang legar SJK Chung Hua Matu semalam.
Sebagai tanda sokongan, Ahmad Johnie menyumbangkan peruntukan sebanyak RM36,000 kepada pihak pengurusan sekolah dan masing-masing RM5000 kepada PIBG dan Lembaga Pengelola Sekolah SJK Chung Hua, Matu.
Antara pengisian pesta ialah pertandingan reruai makanan antara kelas di mana pelajar dan guru bersatu tenaga menyiapkan hidangan istimewa tempatan selain pertandingan penghasilan tanglung yang unik dan berwarna-warni.
Lebih 300 pengunjung memeriahkan acara tahunan itu dam perarakan tanglung menjadi kemuncak pada malam tersebut termasuk cabutan nama bertuah.