KABONG: Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kabong bercadang mewujudkan stesen minyak bersepadu Petroleum Sarawak (PETROS) di daerah itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir berkata, stesen minyak itu diwujudkan dengan konsep milik dan kendalian peniaga atau ‘Dealer Owned, Dealer Operated’ (DODO).
“Saya amat menyambut baik usaha yang dirancang PNK Kabong itu,” katanya ketika taklimat Projek Stesen Minyak PNK Kabong disampaikan SEDC Energy Sdn Bhd di Dewan Sri Nelayan PNK Kabong di sini.
Chee Kadir berkata, sebagai wakil rakyat beliau akan membantu keperluan demi memajukan kawasan DUN Kabong.
Terdahulu, Pengurus PNK Kabong, Sahariya Tahot berkata pihaknya merancang sebanyak lima projek untuk membangunkan sosioekonomi di Kabong bermula tahun ini.
Projek itu ialah pembinaan stesen minyak, naik taraf Yellow Cafe, ternakan ikan air tawar dan membina inap desa dan tempat makan baharu.
