KUCHING: Premier Sarawak akan membantu mengangkat isu masalah bekalan air dihadapi pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) kepada Menteri Pendidikan Tinggi.
Dalam kenyataan media Pejabat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg mengambil maklum mengenai surat terbuka daripada seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkenaan dakwaan masalah bekalan air untuk pelajar di universiti tersebut.
Beliau mengucapkan terima kasih atas makluman tersebut namun menyatakan tidak dapat mengambil tindakan seperti yang dikehendaki kerana permasalahan tersebut adalah di luar bidang kuasa beliau.
“Bagaimanapun, beliau akan mengangkat isu tersebut untuk makuman dan tindakan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir,” menurut kenyataan itu hari ini.
Sebelum ini, dalam surat pelajar terbabit, Muhammad Rasul Rozmiezan, 21, dari Kuching sangat berharap Premier Sarawak mendengar dan bersuara bagi pihak mereka.
“Kami mungkin berada di luar Sarawak, tetapi kami masih pelajar anda. Apa yang anda perjuangkan di sini bukan hanya untuk kami — ia juga untuk rakyat Sabah, yang mengalami masalah sama yang nampaknya tidak pernah berakhir,” tambahnya.
