Pusat Perkhidmatan Sarawak Betong dilancar

BETONG: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperkukuh usaha mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat dengan melancarkan Pusat Perkhidmatan Sarawak Betong.

Pusat tersebut menyediakan kemudahan lebih selesa, moden serta mudah diakses.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata inisiatif memperluaskan rangkaian pusat itu seiring komitmen kerajaan negeri pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam membangunkan ekosistem penyampaian perkhidmatan yang cekap dan berkesan di seluruh negeri.

Menurutnya, dunia kini bergerak dengan pantas dalam aspek digital dan kerajaan mengambil langkah proaktif memperkenalkan dasar Ekonomi Digital yang telah membawa banyak perubahan positif kepada rakyat.

“Dengan polisi digital yang dibawa oleh YAB Premier, kita kini menikmati perkhidmatan yang lebih teratur, mudah dan cepat,”katanya merasmikan pusat tersebut di sini hari ini.

Beliau turut menggesa rakyat untuk mendaftar Sarawak ID dan SarawakPass sebagai satu identiti digital agar lebih mudah mendapatkan akses kepada permohonan bantuan, urusan rasmi kerajaan dan pelbagai maklumat yang disalurkan secara digital.

Beliau menjelaskan, antara projek yang bakal memberikan impak besar kepada rakyat termasuk Jambatan Batang Lupar 2, Lapangan Terbang Bebuling, serta penubuhan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan Produk (CPPC) Agro bagi merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan.

Beliau yakin pembangunan yang sedang dilaksanakan akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat di kawasan ini.