KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM680 juta bagi melaksanakan program Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) dalam usaha membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata mengikut data yang ada, seramai 874,878 rakyat Sarawak menerima bantuan SKAS di seluruh negeri dengan seramai 405,505 adalah isi rumah, 127,266 (warga emas) manakala 342,107 (golongan bujang).
Selain itu, katanya terdapat juga kira-kira 90,000 permohonan rayuan yang diluluskan bagi mereka yang tercicir daripada senarai asal.
“Kita sedar kos sara hidup semakin meningkat dan Kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjaya menambah pendapatan negeri. Daripada hasil tersebut, kita kongsikan bersama rakyat supaya mereka turut mendapat manfaat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan ‘walkabout’ dan ‘Live Run’ Program (SKAS) 2026 dan Majlis Perasmian Farley Garden Kuching, di sini, hari ini.
Abang Johari menjelaskan, bantuan tersebut bertujuan meringankan beban perbelanjaan harian seperti pembelian barangan dapur termasuk gula, beras dan keperluan asas lain.
“Dengan adanya bantuan ini, keluarga dapat menjimatkan perbelanjaan dan menggunakan lebihan pendapatan untuk keperluan lain seperti pendidikan anak-anak,”tambahnya.
Menurutnya tahun ini, peruntukan ditingkatkan dan pembayaran dibuat sebanyak tiga kali bermula 10 Mac lalu sebelum Gawai, peringkat kedua (15 Mei) dan peringkat ketiga dijadual 10 November depan iaitu ketika keluarga memerlukan bantuan kewangan untuk persiapan persekolahan.
Hadir sama Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni,Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaae, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Wilfred Yap, Pengerusi Kumpulan Farley Lau Siew Whye, Pengarah Kumpulan Farley Eising Lau serta jemputan lain.
