Pembangunan luar bandar Sarawak buka peluang perniagaan kepada pasar raya

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus membangunkan infrastruktur di kawasan luar bandar yang membuka peluang perniagaan kepada pasar raya di negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, apabila infrastruktur dibangunkan, kawasan luar bandar turut berkembang menjadi lebih maju.

“Ini memberi peluang kepada perniagaan pasar raya seperti pusat beli-belah Farley untuk berkembang seiring dengan pembangunan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan ‘walkabout’ dan ‘Live Run’ Program Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 dan Majlis Perasmian Farley Garden Kuching, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, walaupun bermula dari kecil, kini pasar raya Farley yang berasal dari Sarawak berkembang pesat dan berpotensi untuk terus maju.

Menurutnya, perniagaan pasar raya serta ekonomi masyarakat terus meningkat hasil perubahan yang membawa kepada pembangunan di seluruh pelusok negeri ini.

Dalam tempoh enam tahun lalu, katanya Kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah menyiapkan lebih 20 projek jambatan sebagai sebahagian usaha memperkukuh infrastruktur jaringan perhubungan negeri.

“Usaha ini penting untuk menghubungkan kawasan luar bandar dengan bandar serta merangsang pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Pada majlis itu, Abang Johari turut menyaksikan sumbangan daripada Yayasan Farley kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang disampaikan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaae.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Wilfred Yap, Pengerusi Kumpulan Farley Lau Siew Whye, Pengarah Kumpulan Farley Eising Lau serta jemputan lain.