Pengamal media perlu utamakan ketepatan, kredibiliti

KUCHING: Media di Sarawak diharap terus mengekalkan mutu kewartawanan yang baik dengan mengutamakan ketepatan dan kredibiliti.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, ini terutamanya dalam teknologi Kecergasan Buatan (AI)
yang semakin digunakan dalam industri komunikasi.

“Ketepatan dan kredibiliti adalah paling utama. Teruskan mengemukakan soalan yang mencabar, melaporkan isu yang memberi kesan kepada rakyat biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Media Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) Gawai 2026 di Dewan DBNA, Jalan Ong Tiang Swee, di sini, malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Akhbar Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Ross Sia.

Pada masa sama, Tiong turut menggesa wartawan agar menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi baharu namun menegaskan bahawa meskipun ada perubahan namun tanggungjawab kewartawanan tetap tidak berubah.

Tambahnya, kerajaan dan media mungkin tidak sentiasa sependapat dalam setiap isu dan akan ada perbezaan pandangan dan itu perkara biasa.

“Yang penting ialah perbincangan kekal membina, fakta terus diutamakan dan kepentingan awam jadi matlamat bersama,” katanya.

Kira-kira 200 pengamal media daripada pelbagai agensi menghadiri Majlis Malam Gawai Media KDJA 2026.