KUCHING: Pengiktirafan Sarawak sebagai sebuah ‘petro-electro state’ meletakkan negeri ini antara destinasi strategik bagi pembangunan teknologi baharu dan peralihan tenaga masa depan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengiktirafan tersebut diberikan berikutan kekuatan Sarawak dalam memiliki sumber tenaga boleh diperbaharui serta sumber gas asli yang mampu menjana bekalan tenaga secara mampan.
“Hanya terdapat beberapa tempat di dunia mendapat pengiktirafan sedemikian dan Sarawak merupakan salah satu daripadanya.
“Ini kerana tenaga memainkan peranan penting dalam proses perindustrian, bermula dengan penggunaan arang batu dan enjin stim, kemudian beralih kepada bahan api fosil, dan kini dunia sedang menuju ke arah tenaga boleh diperbaharui.
“Sarawak memiliki sumber tenaga boleh diperbaharui yang mampu menjana bekalan elektrik selain mempunyai sumber gas yang turut menjadi sumber penting dalam penghasilan tenaga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Perkhidmatan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), di sini malam tadi.
Abang Johari menjelaskan, kebanyakan negara pengeluar minyak di Timur Tengah sering dikategorikan sebagai ‘petro-state’, manakala negara maju seperti Jepun dan China pula dikenali sebagai ‘electro-state’ yang bergantung kepada bekalan elektrik untuk memacu pertumbuhan ekonomi.
Namun katanya, Sarawak mempunyai kelebihan tersendiri apabila menggabungkan kedua-dua kekuatan tersebut sehingga melayakkannya digelar sebagai ‘petro-electro state’.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) yang mewakili Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datu Felicia Tan Ya Hua, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali dan Kontroler Kualiti Alam Sekitar Sarawak Datu Jack Liam.
