Nancy hargai doa, sokongan, keprihatinan semua atas pemergian suami

KUCHING: Menteri Pembangunan Wanita Keluarga Dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri dan keluarga merakamkan penghargaan kepada semua yang menzahirkan takziah, doa, sokongan moral serta keprihatinan atas pemergian suaminya Allahyarham Datuk Kamil Misuari.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, barisan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak (ADUN).

“Kehadiran serta tanda ingatan yang diberikan amat bermakna dan menjadi sumber kekuatan kepada keluarga dalam menghadapi kehilangan ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau dan keluarga juga berharap semoga hubungan silaturahim dan persaudaraan yang telah terjalin antara keluarga, sahabat handai serta semua pihak akan terus dipelihara dan diperkukuhkan.

“Semoga Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa, dilapangkan kubur serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” tambahnya.