SFC keluarkan 70 permit, tangani ancaman replika di kawasan berisiko

KUCHING: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) mengeluarkan lebih 70 permit bagi tujuan pengurusan dan kawalan buaya di seluruh negeri.

Langkah itu sebagai sebahagian daripada usaha berterusan menangani ancaman reptilia itu di kawasan berisiko.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata angka tersebut membuktikan pihak berkuasa tidak pernah berdiam diri dalam menangani isu kehadiran buaya, khususnya di kawasan penempatan penduduk.

Menurut beliau, pelbagai tindakan dilaksanakan termasuk pemantauan, pemindahan dan operasi pengurangan populasi berdasarkan penilaian risiko di sesuatu lokasi.

“Setiap tindakan yang diambil berdasarkan keperluan semasa dan tahap ancaman yang dikenal pasti di lapangan,” katanya selepas Majlis Penyampaian Anugerah Shell LiveWire Sarawak 2026 di Kampung Digital TEGAS, hari ini.

Mengulas video tular yang memaparkan seekor buaya di Tebingan Kuching baru-baru ini, beliau berkata SFC mengambil tindakan segera memandangkan kawasan berkenaan diwartakan sebagai zon bebas buaya.

Len yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah SFC berkata, buaya yang ditangkap akan dipindahkan ke kawasan perlindungan khas yang dikenal pasti, termasuk Kuching Wetlands, Pulau Seduku di Batang Lupar, Taman Negara Rajang serta beberapa lokasi di Sibuti, Lawas dan Limbang.

Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi papan tanda amaran dan menggunakan aplikasi Sarawak CrocWatch untuk melaporkan penampakan buaya, sekali gus membantu pihak berkuasa bertindak dengan lebih pantas demi keselamatan awam.