Usaha damai penting jamin kestabilan global – Abdul Karim

KUCHING: Usaha perdamaian antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran dilihat penting dalam membantu menstabilkan ekonomi global yang berdepan ketidaktentuan akibat konflik geopolitik di Timur Tengah.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ketegangan antara kedua-dua negara memberi kesan langsung kepada pasaran minyak dunia, terutama apabila melibatkan laluan strategik seperti Selat Hormuz.

Menurut beliau, gangguan di laluan berkenaan boleh menyebabkan kenaikan harga minyak dan bahan api, sekali gus memberi tekanan kepada ekonomi banyak negara.

“Oleh itu kita berharap kedua-dua pihak dapat mencapai perdamaian kerana konflik ini memberi kesan kepada masyarakat global,” katanya selepas Majlis Memperingati Ulang Tahun Ke-200 Saintis dan Pengembara Hungary, Janos Xantus di Pustaka Negeri Sarawak, hari ini.

Bagaimanapun, Abdul Karim berpandangan usaha mencapai keamanan berkekalan bukan sesuatu yang mudah memandangkan konflik tersebut melibatkan pelbagai pihak dan kepentingan geopolitik yang kompleks.

Beliau berharap rundingan yang sedang berlangsung diteruskan demi mewujudkan kestabilan ekonomi, keamanan serantau dan kesejahteraan masyarakat dunia.