Manfaatkan kemudahan pendidikan tinggi percuma Sarawak

KUCHING: Pelajar anak Sarawak yang memperoleh keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2025 diharap meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) negeri ini.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, ini bagi memanfaatkan kemudahan pendidikan tinggi percuma yang disediakan Kerajaan Sarawak.

Katanya, kemudahan itu dijangka membuka lebih banyak peluang kepada anak tempatan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi tanpa dibebani masalah kewangan.

“Kini terpulang kepada pelajar untuk merebut peluang tersebut dan menentukan hala tuju masa depan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pengumuman Keputusan STPM 2025 Sarawak di Bangunan LCDA, di sini, hari ini.

Roland Sagah berkata kemudahan itu juga diharapkan melahirkan lebih ramai tenaga mahir dan graduan bidang strategik bagi keperluan pembangunan Sarawak.

Katanya ini khususnya dalam sektor teknologi, tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital dan industri bernilai tinggi.